SPCA Kota Kinabalu News

:. Menuntut Keadilan Moral

(DAILY EXPRESS 13/7/2009: ANJING GONGGONG MAYAT BAYI)

Saya merujuk kepada artikel dalam surat khabar DE (13.7.2009) tentang bayi yang gonggong oleh seekor anjing (sama milik seseorang atau anjing terbiar) di Taman Kingfisher hari minggu yang lalu. Betapa malang ibu yang mengharap janin rahimnya akan hanyut dibawa arus air hujan ke laut dan dimakan oleh cacing! Malangnya dosanya ditbongkar oleh seekor anjing yang menjumpai mayat bayi tersebut, Betapa malangnya anjing itu pula (sekiranya dia dipersalahkan) ditangkap semata-mata kerana ia bertindak menurut naluri semulajadinya apabila menemui seketul daging. Kejadian dan perbuatan ini menunjukkan betapa masyarakat kita masih lagi mengalami penyakit sosial dan keruntuhan moral dan nilai. Walau bagaimanapun masyarakat yang dipuji atas kemajuan ekonomi, dikenali oleh seluruh dunia kerana mempunyai tahap toleransi yang tinggi, hidup dalam harmoni dan tiada peperangan, namun isu semasa sosial seperti merogol tidak kira usia, sumbang mahram nampaknya masih menjadi sajian harian. Keadaan tersebut menunjukkan betapa hati masyarakat masa kini sedang sakit tenat. Oleh itu pihak-pihak berkewajipan dan seluruh lapisan masyarakat harus berganding bahu membentras gejala sosial yang sedang melanda masyarakat kita. Jadi apakah yang perlu kita buat sekarang...?

Penghargaan kepada Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna, YB Datuk Azizah DSP Haji Mohd Dun atas komen-komennya mengenai kes tersebut (DE 15/7/2009). Beliau mengenalpasti punca gejala sosial ialah kelemahan institusi keluarga, kemerosotan nilai-nilai beragama dan hormat menghormati, keperluan ibubapa memantau aktiviti anak-anak mereka, keperluan kaunseling dan harapan agar kempen Keluarga Bahagia akan berjaya dan disokong oleh semua lapisan masyarakat.. Golongan pemikir dalam Kerajaan perlu mengenal pasti apakah yang menyebabkan masyarakat kita terjerumus ke lembah keruntuhan akhlak dan moral. Isu-isu seperti kemiskinan disebabkan oleh gaji yang tidak seimbang, mereka yang bekerja dan menyerahkan penjagaan anak-anak kecil mereka kepada pembantu rumah, keinginan mengejar dunia kebendaan, pertambahan bilangan penduduk dan anak-anak tanpa Negara (stateless), keadaan mereka yang tidak bertempat tinggal, dan peralihan penduduk desa ke kota perlu dipertimbangkan secara mendalam.

Dan bagaimanakah anjing yang dikurung, diikat atau ditinggalkan di bawah matahari tanpa makanan dan minuman? Dijadikan mangsa tanpa usul periksa disebabkan kecuaian manusia? Dibiarkan berkeliaran oleh pemilik yang tidak bertanggungjawab? Atau yang dibuang di tempat awam atau tempat sunyi yang tiada peluang mencari makan dan minum? Adalah jelas kes anjing dan mayat bayi tersebut mempunyai hubung kait. Masyarakat yang sihat meliputi pemeliharaan haiwan, atau dengan kata-kata Mahatma Gandhi, "Keunggulan sesebuah negara dan ketinggian moralnya dapat dilihat dari cara bagaimana ia menjaga haiwannya". Kita perlu melindungi hak anak-anak yang belum lahir dan baru lahir, ibu-ibu yang telah jadi mangsa, dan binatang yang menolong membongkar dosa besar iaitu rahsia pembuangan bayi dan jenayah pembunuhan! Satu penghargaan sepatutnya diberikan kepada anjing itu dengan memberikan ia perlindungan dan bukanya dizalimi. Oleh itu tolonglah lepaskan anjing tersebut dan serahkan kepada mereka yang boleh memberi perlindungan atau SPCA Sabah. Jalankan penyiasatan untuk mencari bukti agar mereka yang terlibat dalam kes pembuangan bayi tersebut dibawa ke muka pengadilan!! - CHICHI

Posted by webmaster on 20 Jul 2009, Mon